Tiada sebarang tawaran KJ jadi calon, MB - Pas Selangor

Roslan Shahir
Roslan Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor mengesahkan tidak membuat sebarang tawaran kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menjadi calon dan ditawar jawatan Menteri Besar sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, selain itu, tiada sebarang perbincangan dan tawaran kepada Khairy menyertai Pas dilakukan setakat ini.

"Tawaran secara spesifik tidak ada, tetapi secara umum kita buka pintu untuk mereka (yang dipecat dan digantung daripada UMNO) menyertai Pas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Roslan Shahir berkata, pada masa ini pihaknya menerima sejumlah ahli UMNO yang ingin bersama dalam perjuangan Pas.

"Pas mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan di seluruh negeri dan kita tiada angka tepat tetapi boleh kata ratusan bekas ahli UMNO menyertai Pas.

"Kita ada menerima kemasukan bekas Naib Ketua UMNO Cawangan di Sabak Bernam yang menyertai Pas dan kita lantik untuk menjawat jawatan sama," ujarnya.

Beliau memberitahu, rata-rata bekas ahli UMNO kecewa dengan pergolakan dalaman yang berlaku terutama selepas kes pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO sebelum ini.

"Gelombang mereka yang menyertai Pas ini semakin ramai terutama di kawasan majoriti Melayu," jelasnya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Khairy menyatakan minat untuk bertanding dalam PRN Selangor dan beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan parti politik mana yang menawarkan jawatan itu.