KPDN ambil tindakan jika harga luar biasa - Fuziah

Fuziah (kanan) ketika lawatan kerja di sebuah restoran di Indera Mahkota pada Selasa.
Fuziah (kanan) ketika lawatan kerja di sebuah restoran di Indera Mahkota pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan jika berlaku kenaikan luar biasa makanan berasaskan sayur sehingga menyalahi Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.

Menurut Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, pada ketika ini bekalan sayur segar di pasaran dipantau sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFS).

"Kalau babitkan bekalan sayur ia berkaitan dengan MAFS, namun jika harga itu luar biasa, ia terjatuh (tertakluk) di bawah akta antipencatutan, iaitu di bawah kementerian (KPDN).

“Jadi, kalau harga luar biasa, dua perkara perlu dilihat iaitu pertama pengguna boleh tengok harga pada menu itu. Kedua kalau mahal sangat, pengguna boleh buat aduan dan penguat kuasa kita akan buat siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan orang ramai susulan kenaikan harga sayur di pasaran sejak minggu lalu semasa sidang akhbar sempena lawatan kerja di sebuah restoran di Indera Mahkota, pada selasa.

Harga beberapa jenis sayur berdaun dan buah meningkat antara dua hingga tiga kali ganda berbanding harga sebelum Monsun Timur Laut.

Mengenai Menu Rahmah, Fuziah berkata, KPDN akan wujudkan direktori restoran yang menyediakan hidangan tersebut di seluruh negara.

Ujar beliau, bagi tujuan itu, pihaknya sedang merangka untuk mewujudkan platform sendiri.

“Di Pahang, setakat ini ada tiga persatuan yang bekerjasama menjalankan Menu Rahmah iaitu Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia (PERTOM) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRISMA).

“Kalau restoran mamak sahaja kita ada 12,500 buah, restoran tomyam tidak terkira, dan restoran India ada sekitar 4,000 di Wilayah (Kuala Lumpur) sahaja. Kesemua ini kita akan letakkan dalam direktori ini,” jelas beliau.

Ujar Fuziah lagi, program itu kini mendapat sambutan yang amat menggalakkan di seluruh negara.

Jelasnya, ia turut mendapat kerjasama daripada medan selera, kopitiam dan kedai-kedai makan lain.

“Kita tahu ramai rakyat susah sekarang kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kementerian bertanggungjawab akan sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan kos sara hidup dapat dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif Menu Rahmah tersebut bukan hanya tertumpu kepada sektor makanan sahaja tetapi turut boleh melibatkan sektor-sektor lain seperti perubatan dan pendidikan bertujuan menangani kos sara hidup.