Pemimpin muda UMNO pertimbang tanding ketua bahagian Larut

Shafiq Fhadly (berdiri) sedia pertimbang tanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut pada pemilihan parti tahun ini.
Shafiq Fhadly (berdiri) sedia pertimbang tanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut pada pemilihan parti tahun ini.
A
A
A

IPOH - Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud menyatakan kesediaan bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut pada pemilihan parti kali ini.

Menurut Mohd Shafiq, keputusan itu sedang dipertimbangkan selain jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Larut.

Jelasnya, keputusan berkenaan bergantung kepada sokongan dan maklum balas daripada akar umbi untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Bahagian Larut.

"Pada asalnya saya hanya mahu bertanding jawatan ketua pemuda bahagian tetapi ada cadangan supaya saya ambil jawatan lebih tinggi seperti ketua UMNO bahagian. Jadi saya sedang mempertimbangkannya.

"Saya melihat UMNO Bahagian Larut perlu pembaharuan dari aspek kepimpinan untuk memastikan bahagian ini tidak terus lesu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Shafiq yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Larut pada PRU15 lalu berkata, UMNO Bahagian Larut memerlukan strategi berkesan untuk merampas kembali kesemua kerusi yang mereka tewas pada PRU tahun lalu.

Jelasnya, disebabkan itulah kepimpinan UMNO di peringkat bahagian memerlukan muka-muka baharu yang lebih segar untuk menarik anak muda bersama-sama parti itu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Koordinator Komunikasi BN itu juga menyatakan hasrat untuk bertanding bagi jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan kali ini.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut sebelum ini dipangku oleh Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Larut disandang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Pada PRU15 lalu, Mohd Shafiq yang memperoleh 16,752 undi tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan majoriti 11,598 undi.