Luqman Hakim sertai Njardvik FC

Luqman Hakim
Luqman Hakim
A
A
A

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin sah menyertai kelab Iceland, Njardvik FC secara pinjaman.

Perkara itu diumumkan Njardvik FC menerusi satu kenyataan dengan kelab liga Iceland itu telah mencapai persetujuan bersama KV Kortrijk untuk mendapatkan Luqman Hakim secara pinjaman sehingga penghujung tahun ini.

"Berasal dari Malaysia, Luqman adalah pemain penyerang yang mempunyai dua penampilan untuk pasukan kebangsaan Malaysia, serta penampilan junior yang tidak terkira banyaknya.

"Luqman yang berusia 20 tahun turut berada dalam senarai The Guardian daripada 60 pemain paling berpotensi di dunia pada 2019.

"Luqman dibeli KV Kortrijk dan telah membuat dua penampilan untuk kelab itu dalam Liga Perdana Belgium. Selain itu, dia pernah bermain untuk pasukan bawah 21 tahun dan pasukan simpanan kelab," kata kenyataan itu pada Selasa.

Pemain dari Kota Bharu itu sebelum ini mencipta sensasi apabila menandatangani kontrak profesional bersama Kortrijk pada 2020 sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama bermain di Belgium.

Luqman Hakim membuat penampilan senior pertamanya untuk Kortrijk pada 24 Oktober 2020 ketika menentang Anderlecht selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74.