Leeds lepaskan Marsch selepas setahun

Marsch - Foto Agensi
Marsch - Foto Agensi
A
A
A

MALANG nasib Jesse Marsch apabila dipecat sebagai pengurus Leeds United pada Isnin selepas gagal membantu kelab meraih kemenangan daripada tujuh aksi.

Leeds berada satu tangga di atas tiga pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kalah 0-1 kepada Nottingham Forest pada Ahad

"Leeds United mengesahkan ketua jurulatih, Jesse Marsch dilepaskan daripada tugasnya," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Kekalahan kepada Forest mengundang amarah menyokong yang menggesa jurulatih berusia 49 tahun itu dipecat selepas hanya setahun di Elland Road.

Dalam tempoh 24 jam permintaan mereka direalisasikan apabila pengendali dari Amerika Syarikat itu dilepaskan daripada tugasannya.

"Jesse menyertai kelab pada Februari 2022 dan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelab itu di EPL pada hari terakhir musim lalu.

"Proses melantik ketua jurulatih baharu sedang berjalan," kata kenyataan itu.

Marsch mengikat kontrak tiga tahun menggantikan Marcelo Bielsa, meninggalkan kelab itu di kedudukan ke-17.

Leeds hanya keluar daripada zon penyingkiran berdasarkan perbezaan gol.

Pelantikan Marsch untuk membimbing Leeds disambut dingin penyokong yang meraguinya kerana tiada pengalaman dalam kancah EPL.

Dia sebelum itu membimbing New York Red Bulls, Red Bull Salzburg dan RB Leipzig.