Rafizi dilantik semula Naib Presiden PKR?

Rafizi Ramli. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Rafizi Ramli. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mohd Rafizi Ramli kemungkinan dilantik semula sebagai Naib Presiden PKR bagi mengisi jawatan lantikan sekaligus melengkapi senarai kepimpinan tertinggi parti itu yang dijangka diumumkan minggu depan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata beliau tidak menolak perkara itu berdasarkan pendirian yang dinyatakan oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedia memberi tempat kepada individu yang memberi sokongan kepada parti.

“Senarai penuh jawatankuasa akan diumumkan dalam masa terdekat. Saya difahamkan esok Anwar ada pertemuan dengan pimpinan Sarawak.

“Selepas kita ada seluruh saf kepimpinan baharu, minggu depan selepas perbincangan di peringkat biro politik, kita akan umumkan.

“Kemungkinan Rafizi tersenarai itu ada sebab. Anwar dah cakap semua yang bersedia memberi sokongan dan bantuan kepada parti untuk kukuhkan jentera parti akan dikumpulkan akan diserapkan untuk kepimpinan akan datang,”katanya.

Sebelum ini Rafizi memegang jawatan Naib Presiden PKR tetapi menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden namun tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Empat Naib Presiden yang dipilih melalui proses pemilihan sama adalah Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Xavier Jayakumar dan Tian Chua.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, 24 jawatan lantikan dalam PKR akan diputuskan selepas Anwar selesai mengadakan sesi libat urus dengan pemimpin peringkat negeri dan cabang.

Perlembagaan parti memberi kuasa kepada presiden melantik lima anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), dua naib presiden, seorang setiausaha agung, seorang ketua penerangan, seorang bendahari dan 14 pengerusi negeri.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Fahmi ketika ditanya mengenai potensi untuk 14 wakil Umno Sabah termasuk Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor masuk ke PKR selepas mengisytiharkan keluar parti semalam, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat.

Bagaimanapun ujarnya, PKR masih kekal dengan pendirian bahawa kemasukan sesiapa pun dalam PH tak bermaksud siasatan atau pendakwaan akan dihentikan.

“Saya gesa semua Ahli Parlimen isytihar harta termasuk mereka yang berniat untuk masuk ke PH. Dalam suasana Malaysia baharu ini susah nak terima tak ada aset atau belum sedia isytihar aset.

“Jadi harap mereka dapat memberi komitmen kepada semangat Malaysia baharu dengan mengisytiharkan aset sebelum mereka isytihar nak ke parti mana,”katanya.