[VIDEO] Kalau benar KJ ada 'magnet', tubuh parti baharu - Puad

Hantaran Puad di Facebooknya pada Isnin.
Hantaran Puad di Facebooknya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh menubuhkan parti baharu sekiranya benar mempunyai 'magnet' atau daya tarikan bagi menarik sokongan orang muda.

Katanya, ia bagi melihat adakah ramai orang muda akan mengikut Khairy sekiranya beliau menubuhkan parti.

"(Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) kata, Khairy ada 'magnet'. UMNO rugi kerana buang 'magnet' untuk tarik orang muda. Masa Khairy jadi ketua Pemuda, ramaikah anak muda ditarik oleh 'magnet' Khairy untuk sokong UMNO?

"Mungkin anak muda sokong Khairy tetapi bukan pada UMNO. Khairy tidak merayu pemecatannya. Apa salahnya Khairy tubuh parti baru. Kita tengok apakah anak muda akan berduyun masuk ikut 'magnet' Khairy," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Ismail Sabri sebelum ini dilapor berkata, tindakan UMNO yang dilihat menafikan perbezaan pendapat diutarakan pemimpin muda hanya merugikan parti itu.

Naib Presiden UMNO itu menyifatkan pemecatan Khairy dan penggantungan bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan seperti menghapuskan 'magnet' yang menarik sokongan orang muda.

Dalam pada itu, Puad berkata, sekiranya Khairy tidak seberani Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan parti baharu, beliau boleh menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.

"Khairy boleh buktikan 'magnet' dia ok. Jangan pula jadi penumpang kepada parti itu.

"Ismail Sabri silap. Patut dia cadang pada MKT supaya Khairy ganti dia sebagai 'poster boy' di PRU15 lalu. Alasannya dia tidak ada 'magnet'. Khairy ada 'magnet'. Ruginya UMNO kalau betul," katanya.