SKMM diarah segera selesai isu mutu khidmat telekomunikasi

 Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan meneliti serta menyelesaikan isu berhubung mutu serta kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi sebelum Jun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ini kerana perkara itu sentiasa dibangkitkan dan menjadi rungutan orang ramai memandangkan sukar mendapat akses Internet di sesuatu kawasan atau tempat.

"Ada isu liputan dalam bangunan kerana beberapa peralatan perlu pasang dalam bangunan (untuk mendapat rangkaian) tetapi apabila berada di luar, pengguna dapat akses tetapi masuk dalam bangunan liputan itu kurang baik... maka, perlu ada kerjasama dalam kalangan syarikat telekomunikasi melalui SKMM, apakah kawasan yang perlu diberi keutamaan.

"Masalah (rangkaian) di lebuh raya sering kali mutu perkhidmatan (syarikat telekomunikasi) dibangkitkan orang ramai malah di sesetengah stadium ketika tonton bola sepak, aduan diterima tiada liputan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di sini pada Isnin.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini dan menurut beliau isu kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi itu antara isu yang mahu diselesaikan secara pukal bagi kepentingan pengguna.

"Bila bab bil (telefon) dibayar lewat (oleh pengguna) akan dipotong tetapi bila mutu perkhidmatan tidak ditepati kemahuan atau tahap yang boleh kita terima namun tiada kesan (kepada syarikat telekomunikasi),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, KKD juga memfokuskan untuk menyelesaikan masalah rangkaian Internet terutama di kawasan berpenduduk tiga peratus iaitu membabitkan kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.

"Ini merupakan kawasan yang dari segi jaringan gentian bagi kebanyakan syarikat telekomunikasi berasakan kosnya adalah tinggi dan KKD sedang teliti beberapa cara termasuk penggunaan sistem Internet satelit dan beberapa teknologi lain untuk menyelesaikannya.

"Ini amat penting kerana bagi saya supaya tiga peratus (kawasan berpenduduk) yang merangkumi 3,000 kawasan dengan jumlah penduduk dari 50 hingga lebih 100 orang ini dilibatkan dalam ekonomi digital,” katanya.

Mengenai kenaikan harga sayur, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berhasrat untuk mewujudkan satu sistem data raya bagi menangani isu berkenaan.

"(Sistem ini) merangkumi apakah stok yang ada, berapakah jumlah bentuk tanaman yang ada di ladang dan apa yang ada di pasaran. Ini akan dapat membantu dari segi perancangan masa panjang dan saya percaya dalam masa terdekat, menteri berkenaan akan teliti isu ini untuk diselesaikan dengan cara terbaik,” katanya.- Bernama.