PRN: Rundingan PH dan BN diadakan tidak lama lagi

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, setakat ini rundingan pembahagian kerusi secara rasmi melibatkan kedua-dua pihak masih belum berlaku.

"Berdepan PRN yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi, sememangnya satu kerjasama antara BN dan PH adalah penting bagi memungkinkan berlakunya peralihan kuasa dari Pas kepada Kerajaan Perpaduan.

"Secara dasarnya, telah wujud persefahaman antara PH dan BN namun rundingan kerusi secara rasmi masih belum berlaku dan dijangka diadakan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu berkata, pihaknya sedar bahawa BN memiliki lebih banyak kelebihan memandangkan parti itu mempunyai pengalaman lama dan pengaruh yang luas di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, PH Terengganu bersedia dan bersifat terbuka kepada sebarang perbincangan bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk negeri ini.

"Namun, segala keputusan berkaitan agihan kerusi hanya akan diumum setelah keputusan akhir dicapai antara kedua-dua belah parti," katanya.

Sebanyak enam negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan mengadakan PRN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.