[VIDEO] MOF bincang dengan PLUS tambah lorong Yong Peng-Skudai

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan pertemuan bersama pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada minggu ini berhubung penambahan lorong lebuh raya membabitkan laluan antara Yong Peng- Skudai.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penambahan lorong daripada empat kepada enam lorong itu antara fokus kerajaan negeri terutama dalam mengatasi kesesakan, akibat pertambahan kenderaan.

"Ini juga adalah permintaan ramai rakyat berikutan kesesakan lalu lintas lebuh raya itu di antara Yong Peng-Skudai adalah masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

"Kita lihat dari Melaka ke Seremban sudah ada enam lorong, manakala dari Seremban ke Kuala Lumpur sudah ada lapan lorong.

"Namun Johor cuma ada empat lorong sedangkan negeri itu memberikan sumbangan yang begitu besar kepada kekayaan dan pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail di sini, pada Isnin.

Ahmad (tiga dari kiri) pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail pada Isnin.
Ahmad (tiga dari kiri) pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 peringkat negeri di Bangunan Sultan Ismail pada Isnin.



Sebelum ini, kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 kilometer (km) itu.

"Pertemuan antara MOF dan PLUS itu bukanlah pengumuman berhubung pertambahan lorong di laluan lebuh raya di negeri ini akan bermula. Namun ia adalah perbincangan awal yang akan memberi pemberat kepada cadangan yang sekian lama dibuat Johor.

"Sekiranya tidak ada perbincangan lanjut, seolah-olah perkara itu akan berlalu begitu sahaja dan tidak ada sebarang pemberat kepada cadangan yang penting untuk merealisasikan permohonan Johor itu," katanya.