Lelaki maut, kereta rempuh pembahagi jalan

Kereta dipandu mangsa terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dalam kemalangan di susur keluar Damansara Damai di Jalan Kepong-Sungai Buloh pada Isnin.
Kereta dipandu mangsa terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dalam kemalangan di susur keluar Damansara Damai di Jalan Kepong-Sungai Buloh pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandu merempuh pembahagi jalan dalam kejadian di susur keluar Damansara Damai di Jalan Kepong-Sungai Buloh di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 12.23 tengah malam.

"Siasatan mendapati mangsa berumur 43 tahun itu memandu berseorangan dalam kereta jenis Perodua Alza.

"Kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian diharap tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya Inspektor Mohd Hafeez Faesal di talian 011-32311232," katanya.