Peningkatan ammonia: Tiada gangguan air di Selangor

Kandungan ammonia lebih tinggi dikesan pada muka sauk Loji Rawatan Air SSP1, SSP2 dan SSP3 pada Khamis lalu. Gambar kecil: Ir Izham Hashim
Kandungan ammonia lebih tinggi dikesan pada muka sauk Loji Rawatan Air SSP1, SSP2 dan SSP3 pada Khamis lalu. Gambar kecil: Ir Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor tidak mengalami gangguan bekalan air biarpun kandungan ammonia (AN) lebih tinggi yang dikesan pada muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) SSP1, SSP2 dan SSP3 pada Khamis lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, pemantauan 24 jam oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di lokasi-lokasi utama lembangan Sungai Selangor sehingga kini mendapati sumber air berada di tahap baik.

Menurutnya, didapati bacaan parameter AN adalah normal di bawah 1 mg/l dan menepati parameter yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu tidak melebihi 1.5 mg/l.

"Justeru, operasi LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 berjalan seperti biasa dan tiada gangguan berdasarkan maklumat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, permasalahan kualiti air bukan hanya disebabkan pencemaran tetapi kewujudan pelbagai aktiviti ekonomi dan operasi perbandaran di sepanjang jajaran Sungai Selangor yang turut memberi kesan kepada risiko tersebut.

Jelas beliau, melalui pendekatan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM), risiko-risiko permasalahan kualiti air dapat diatasi dengan berkesan selain menjamin LRA boleh terus beroperasi dengan baik.

"SJAM merangkumi komponen hukuman pesalah yang lebih berat melalui Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pindaan 2020.

"SJAM turut memastikan pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

"Komponen SJAM turut melibatkan pengepaman sumber air mentah alternatif dari kolam takungan Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih," katanya.

Ujarnya, menerusi operasi Khamis lalu, pengaktifan pelepasan air alternatif daripada HORAS 600 dan KL Larut dengan jumlah keseluruhan sebanyak 516 juta liter telah berjaya mengawal permasalahan kualiti air serta meningkatkan kualiti air di kawasan muka sauk LRA dengan cepat.

"LUAS sentiasa siap siaga dan terus melakukan pemantauan rapi di kawasan sungai-sungai yang terlibat meliputi pemantauan statik di Sungai Air Hitam.

"SJAM juga bersiap sedia untuk diaktifkan bagi menghadapi sebarang risiko," katanya.