Tak makan pujuk, hentak kepala di cermin lori

Tangkap layak video tular yang memaparkan seorang lelaki sedang dipujuk anggota polis selepas membuat kacau di persimpangan lampu isyarat di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada Sabtu.
Tangkap layak video tular yang memaparkan seorang lelaki sedang dipujuk anggota polis selepas membuat kacau di persimpangan lampu isyarat di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang lelaki menarik perhatian ramai apabila membuat kacau di persimpangan lampu isyarat Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat maklumat kejadian berkenaan daripada orang awam pada jam 7.58 pagi.

Pada masa yang sama katanya, pihak polis mengesan satu video yang tular berdurasi 24 saat menerusi aplikasi TikTok berkenaan kejadian itu.

"Video berkenaan memaparkan sudah ada kehadiran tiga anggota polis sedang memujuk seorang lelaki yang menimbulkan kacau ganggu. Video berkenaan juga memaparkan aksi lelaki berkenaan yang enggan bekerjasama.

"Bertindak atas maklumat Ketua Balai Polis Seri Alam bersama anggota pergi ke lokasi kejadian. Lelaki berkenaan dipercayai kurang siuman.

"Usaha memujuk lelaki berkenaan berusia dalam lingkungan 20 tahun yang merupakan warganegara asing gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, lelaki berkenaan cuba melarikan diri hingga melanggar sebuah lori.

"Lelaki berkenaan juga bertindak mencederakan diri sendiri dengan menghentak kepalanya di bahagian cermin hadapan lori terbabit," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, lelaki tersebut yang mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan.

Beliau menambah, lelaki berkenaan akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HSI untuk pemeriksaan lanjut.