Kaji semula kebenaran penjualan mercun, bunga api

Gambar hiasan. (Gambar dalam : Nur Asyikin)
Gambar hiasan. (Gambar dalam : Nur Asyikin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan semula kebenaran penjualan mercun dan bunga api bagi mengurangkan risiko kemalangan berkaitan bahan letupan berkenaan.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berpandangan, isu keselamatan harus menjadi keutamaan meskipun melibatkan pembakaran bunga api yang disifatkan kurang berbahaya.

“Pihak berwajib perlu sediakan satu garis panduan yang ketat sekiranya mahu membenarkan penjualan mercun dan bunga api kepada orang ramai agar dapat minimumkan kemalangan.

“Berilah panduan mengenai jenis yang dibenarkan, semestinya yang tidak berbahaya, agar tidak disalah guna pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan telah bersetuju membenarkan penjualan mercun dan bunga api tertakluk peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

Nur Asyikin turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi mengenai isu keselamatan pengguna, sekali gus sentiasa memperjuangkan isu keselamatan barangan yang dijual kepada pengguna.

Justeru katanya, pihak berwajib perlu mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membendung penyeludupan mercun dan bunga api berbahaya masuk ke negara ini.

“Sudah banyak mercun dan bunga api yang diseludup secara haram dari negara luar. Kita tidak tahu sama ada ia (mercun dan bunga api) selamat atau tidak untuk pengguna.

“Perlu berbalik kepada isu penguatkuasaan, kerajaan harus bendung dahulu (penyeludupan) mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan sebelum membenarkan penjualan yang lain,” ujarnya.