Terjemah karya sasterawan kita

Dari kiri : A Samad Said ,Muhammad dan Anwar Ridhwan
Dari kiri : A Samad Said ,Muhammad dan Anwar Ridhwan
A
A
A

Penterjemahan dalam dunia global hari ini sudah menjadi perkara wajib. Wajib dalam konteks untuk memahami dunia yang pesat dan meluas. Tanpa terjemahan bererti globalisme tidak akan banyak bermakna kepada sesuatu bangsa, justeru akan berlaku keciciran dan ketinggalan dalam sudut apa pun.

Maka demikianlah juga dunia globalisme kesusasteraan yang setiap hari mencipta sejarah-sejarahnya yang tersendiri. Tanpa adanya terjemahan, hubungan konsep kedekatan globalisme itu hanya tinggal pada namanya.

Terjemahan juga penting kalau mahu melihat sasterawan kita mencapai Hadiah Nobel Sastera. Biasanya, pemenangnya bermula dengan karyanya tersebar ke dunia luas melalui terjemahan, terutamanya dalam bahasa Inggeris. Khalayak terpesona dan dengan cepat seseorang pengarang itu, menjadi istimewa dan popular di mana dunia. Dari pada situlah lahirnya cadangan bahawa seseorang pengarang itu, layak dinobatkan menerima Hadiah Nobel Sastera itu.

A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan adalah nama pengarang kita yang mempunyai potensi untuk memenangi anugerah sastera dunia itu. Kebiasaannya juga pengarang yang dicadangkan itu, sudah mempunyai nama istimewa di dalam negara, dan telah melakukan sesuatu yang bermakna dan signifikan terhadap kesusasteraannya.

Kedudukan mereka juga diperkuat dengan mendapat kritikan dan kajian-kajian akademik. Gagasan kesusasteraan pengarang itu dibincang dengan kritis oleh pengkritik dan pemikir sastera, yang menemui bahawa karya dan kepengarangannya mencapai sifat kanon dan unggul. Sementara khalayak umumnya menerima teks-teks tersebut sebagai karya yang baik. Resepsinya memberikan impak dan pragmatik yang tinggi, sebagai teks yang hidup diuji zaman.

Telah sedia maklum Albert Camus menang kerana mempelopori teks absurd, Samuel Bekcett dengan surealisme dan Jean Paul Sartre dengan eksistensialisme. Begitu pula Naguib Mahfouz mempelopori dan menghidupkan realisme untuk sastera Mesir. Orhan Pamuk dengan menghasilkan novel-novel pascamoden yang mengagumkan bagi rakyat Turkiye. Abd Razak Gurnah mencitrakan pengalaman migrasinya dengan novel-novel pascakolonial.

Pengarang besar

A. Samad Said pada zaman awalnya menggoncang apresiatif khalayak dengan aliran realisme melalui novel-novel dan sajak-sajaknya. Pencitraan realistiknya diakui oleh dunia melalui kenyataan A. Teeuw. Kemudian menghasilkan pula novel-novel yang hebat dalam aliran realisme magis.

Muhammad Haji Salleh pula mengemukakan gagasan sajak-sajak intelektual melanggar curahan perasaan yang sudah dianuti oleh persajakan Melayu sejak dekad 1930-an. Beliau juga memulakan teks intertekstual dengan memindahkan peristiwa Sejarah Melayu ke dalam puisi, yang kemudiannya menjadi ikutan ramai pengarang.

Rasanya beberapa buah karya pengarang besar kita itu, sudah diterjemahkan. Cuma belum memadai untuk sampai ke persada dunia. Apa pun aktiviti penterjemahan ini harus dilakukan secara konsisten terhadap mana-mana karya yang baik dan pengarang yang unggul.

Proses penterjemahan dimulai dengan mencari teks yang paling relevan dan signifikan dengan keperluan pembangunan kesusasteraan. Kita harus pandai memilih manakah teks yang perlu diutamakan, bukan memilih mana teks yang mudah diterjemahkan. Tidak terelakkan kita harus mengenal pengarangnya, latarnya, sosialisasinya dan aspirasi kepengarangannya; kesemuanya itu membantu kerja penterjemahan.

Ada beberapa langkah yang biasa dilakukan. Pertamanya tentulah pembacaan awal terhadap teks yang telah dipilih. Di samping mengetahui pemikiran dan naratologi teks, penterjemahan harus menjadikan dirinya sebagai air yang dapat menyerap masuk ke dalam setiap liku teks tersebut.

Langkah kedua ialah membuat pindaan dari segi komponen gramatika dalam setiap ayat, hubungan ayat secara keseluruhan dan menyusunnya semula ke dalam bahasa yang hendak diterjemahkan. Dan langkah ketiga yang paling penting ialah melakukan penilaian terhadap mutu terjemahan yang dilakukan itu.

Langkah-langkah yang dinyatakan tidaklah begitu rigid, ia selalu berlaku penyesuaian dan perubahan. Setiap orang mempunyai kaedah dan tatakerjanya yang tersendiri. Yang penting penterjemah merasa dirinya telah sebati dengan teks yang hendak diterjemahkan. Ia sudah merasa mesra dengan stail teksnya, dan merasa seronok serta terhibur dengan kerja terjemahannya.

Terjemahan yang baik, hasilnya akan segar sepanjang zaman dan akan dihargai untuk selama-lamanya. Dan pengarang asalnya pun merasa terhutang budi kepada penterjemahnya, yang telah memanjangkan hayat teksnya ke dunia asing, serta merasa terhormat dan mendapat penghargaan di luar lingkungan budayanya.

Penterjemah unggul

Begitulah yang terjadi kepada pengarang-pengarang seperti Shakespeare, Goethe, Cooper, Beckett, O’Neill, Cellini, Joyce dan ramai lagi menjadi harum ke seluruh dunia, hasil daripada penterjemahan karya-karya mereka.

Nama-nama penterjemah seperti Schlegel, Taylor, FitzGerald, Raphael, Sayers, dan Humphries dikenang, kerana menyebarkan teks-teks unggul dunia. Sumbangan Schlegel menterjemahkan drama-drama Shakespeare ke bahasa Jerman, sehingga melahirkan Brecht sebagai dramatis terkenal. FitzGerald pula menterjemahkan puisi Parsi Rubaiyyat ke bahasa Inggeris, sehingga karya itu dikagumi dan diminati oleh orang-orang Inggeris lebih daripada karya Inggeris sendiri, dan betapa ia mempengaruhi besar penyair-penyair England zaman itu.

Tradisi terjemahan sudah bermula sejak 4,000 tahun, Empayar Assyria di bawah pemerintahan Maharaja Sargon sudah mengetahui manfaatnya usaha terjemahan ini. Sesungguhnya rasa persefahaman antara bangsa dan migrasi keilmuan dapat dilakukan dengan pesatnya melalui kegiatan terjemahan.

Kerja penterjemahan yang diterima sebagai sebuah seni, menuntut pekerjanya berjiwa halus, kreatif dan inovatif sama seperti pengarang asalnya juga. Bagaimanapun sebagai kerja kesenian, penterjemahan tetap terdedah kepada kesalahan yang tidak disengajakan, justeru itu sering dianjurkan teks-teks yang telah diterjemahkan dan dicetak, dilakukan pembetulan pada edisinya yang berikutnya.

Atau jika didapati terjemahannya sebagai sangat buruk, berlaku pelarian terhadap komposisi teks adalah dianjurkan supaya penterjemahannya dilakukan semula. Sebab itulah teks-teks Shakespeare sentiasa mengalami penterjemahan berulang kali oleh penterjemah yang sama atau yang lain.

Penterjemahan yang buruk atau yang sengaja tidak dibetulkan dianggap sebagai melakukan jenayah terhadap pengarang asalnya.

Karya pilihan dan unggul tanah air, haruslah dilakukan penterjemahannya. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Penterjemah Malaysia, rasanya boleh mengambil inisiatif ke arah penterjemahan teks-teks karya pengarang tersebut.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia