Pasangan guru maut, tiga anak cedera

Keadaan kenderaan dinaiki mangsa yang terlibat nahas di kilometer 274 dekat susur keluar Plaza Tol Cheneh, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di Kemaman kira-kira jam 4 petang pada Sabtu. - Foto tular media sosial, gambar kecil dari kiri: Rosmayati, Arbain
Keadaan kenderaan dinaiki mangsa yang terlibat nahas di kilometer 274 dekat susur keluar Plaza Tol Cheneh, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di Kemaman kira-kira jam 4 petang pada Sabtu. - Foto tular media sosial, gambar kecil dari kiri: Rosmayati, Arbain
A
A
A

KEMAMAN - Sepasang suami isteri maut manakala tiga anaknya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas di kilometer 274 dekat susur keluar Plaza Tol Cheneh, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini petang Sabtu.

Mangsa, Arbain Baharudin, 47, dan isterinya, Rosmayati Bakar@Lalar, 48, yang merupakan guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, beliau difahamkan, mangsa sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung di Kampung Gelugor, Kerteh, di sini selepas menghantar seorang anak lelakinya di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan sebelum ditimpa kemalangan kira-kira jam 4 petang.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Estima yang dinaiki mereka dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu, tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

"Kenderaan tersebut kemudiannya turut berpusing beberapa kali ke arah kanan jalan sebelum terhenti di pembahagi lebuh raya," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Tambah Hanyan, kemalangan tersebut mengakibatkan pasangan suami isteri yang tinggal di Kajang, Selangor itu tercampak kira-kira lima hingga 10 meter dari kenderaan mereka.

Sementara itu, katanya, tiga anak mereka iaitu Farah Najwa, 20; Fatin Najla,10 dan Faikal Nabila yang berusia lapan tahun masing-masing mengalami kecederaan pada tangan, kaki dan muka.

"Anak mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut," ujar beliau.

Hanyan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.