'Kalau di tempat Zii Jia, saya ambil jurulatih' - Rashid

Rashid - Foto: Bernama
Rashid - Foto: Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia perlu diberi sokongan untuk kembali berada pada prestasi terbaik dalam kalangan pemain kelas dunia.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, ia bukan sesuatu yang mudah mengekalkan prestasi pada tahap tinggi apabila berstatus pemain ranking dunia.

“Perlu ada latihan keras, persiapan fizikal dan mental serta perancangan kejohanan yang rapi.

“Bukan setakat hendak pergi pertandingan sahaja tetapi meletak sasaran untuk menang. Itulah yang paling susah,” katanya selepas menghadiri program Charity At Heart anjuran Milo di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tambah Rashid, sokongan secara berterusan kepada pemain berusia 24 tahun itu sememangnya diperlukan agar prestasi permainannya kembali ke tahap cemerlang.

“Kita tidak boleh bercakap dari segi prestasi dia (Zii Jia) sahaja, sebagai pemain profesional naik turun prestasi memang jadi asam garam tetapi yang paling penting kita kena support dia supaya prestasi akan meningkat dan kekal sebagai salah seorang pemain kelas dunia.

Rashid meluangkan masa untuk bermain badminton bersama peminatnya pada Program Charity At Heart Milo di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu. - Foto: Bernama
Rashid meluangkan masa untuk bermain badminton bersama peminatnya pada Program Charity At Heart Milo di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu. - Foto: Bernama

“Dia juga perlu ada perancangan dan pasukan yang bagus untuk mengenal pasti kelemahan serta meningkatkan prestasi permainan lebih bagus serta kemas,” katanya.

Mengulas jika berada dalam situasi Zii Jia, Rashid tanpa ragu-ragu menyatakan akan mendapatkan khidmat jurulatih.

“Kalau saya sendiri (di tempat Zii Jia), saya perlukan seorang jurulatih dan satu pasukan yang bagus dari segi persiapan fizikal dan mental serta urusan untuk permainan.

“Yang penting dia sendiri perlu memberi tumpuan kepada kejohanan dan permainan sahaja. Perkara-perkara lain diuruskan pasukannya,” katanya.

Bagaimanapun dalam pemilihan jurulatih, jelas Rashid, ia terpulang kepada Zii Jia kerana pemain kelahiran Alor Setar itu boleh menilai keperluannya sebagai pemain profesional.

“Ini kerana setiap jurulatih memiliki kelebihan dan corak latihan masing-masing dalam melatih pemain mereka,” katanya.