Malaysia-Singapura kerjasama tangani isu penipuan dalam talian

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Singapura sedang merangka kerjasama perkongsian maklumat dan kepakaran serta amalan terbaik dalam menangani isu penipuan dalam talian (online scam) secara lebih berkesan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Josephine Teo, di sini, pada Sabtu, turut membincangkan kerjasama untuk mengoptimumkan penggunaan data sebagai sumber komoditi yang berharga dalam pertumbuhan ekonomi digital negara.

"(Mesyuarat) membincangkan dengan lebih mendalam hala tuju kerjasama Malaysia dan Singapura dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital selain bidang komunikasi,” katanya dalam kenyataan media selepas mesyuarat dengan Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura itu.

Menurut Fahmi, Malaysia dan Singapura baru sahaja memperbaharui kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 30 Januari lepas di negara jiran itu.

Ia sekali gus menyediakan platform kepada agensi-agensi di kedua-dua negara memulakan kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital, katanya.

Fahmi turut mengalu-alukan kesudian Josephine serta delegasinya untuk menghadiri konsert Muzika Ekstravaganza yang dihoskan oleh Malaysia malam ini.

"Konsert anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan MediaCorp Suria Singapura ini merupakan konsert kali ke-14 yang bermatlamat untuk menaikkan taraf industri muzik kedua-dua negara menerusi pertukaran kepakaran dan pengalaman serta penggunaan teknologi, selain memberi pendedahan kepada budaya kerja antara kedua-dua stesen penyiar,” kata Fahmi.

Turut serta dalam sesi mesyuarat itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek; Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura, Joseph Leong; Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab. - Bernama