Pegawai perubatan rugi RM94,001 terpedaya 'Love Scam'

Gambar hiasan. (Gambar dalam : Mohamad Fakhrudin)
Gambar hiasan. (Gambar dalam : Mohamad Fakhrudin)
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pegawai perubatan mengalami kerugian sebanyak RM94,001 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan 'Love Scam' pada Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 31 tahun itu mendakwa telah berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook.

"Lelaki berkenaan dipercayai bekerja di luar negara, perkenalan tersebut berterusan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, sepanjang tempoh perkenalan tersebut, mangsa mengesahkan tidak pernah berjumpa dengan suspek.

"Selepas dua minggu berkenalan, suspek meminta mangsa untuk melakukan transaksi dalam talian untuk urusan pembelian barang melalui satu laman sesawang," katanya.

Beliau berkata, semasa berada di rumah, mangsa telah menekan pautan laman sesawang tersebut dan mengisi maklumat yang diberikan oleh suspek iaitu data pengenalan dan kata laluan.

"Mangsa yang menggunakan akaun peribadinya telah melakukan beberapa transaksi pembelian barang berjumlah AS$18,640 dan dan AS$33,990," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, ekoran daripada transaksi tersebut, akaun mangsa telah dibekukan tanpa diketahui sebabnya.

"Mangsa diminta untuk membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaunnya diaktifkan semula," katanya.

Menurutnya, mangsa telah melakukan pembayaran deposit secara beberapa kali ke dalam satu akaun tempatan berjumlah RM23,701.

"Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa jumlah tersebut tidak mencukupi dan perlu menambah lagi wang," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa telah diarahkan untuk menggunakan aplikasi Huobi bagi tujuan penukaran mata wang Ringgit Malaysia kepada dolar AS.

"Mangsa yang masih mempercayai arahan tersebut telah memasukkan wang ke empat lagi akaun bank berbeza melalui aplikasi sama.

"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila suspek meminta mangsa memasukkan wang kepada rakan suspek, namun mangsa tidak melakukannya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji-janji manis sahabat alam maya.