Perkhidmatan bas perantara percuma dari KL Sentral ke Parlimen

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berucap pada Majlis Tautan Mesra & Perpaduan Kementerian Pengangkutan 2023. -Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berucap pada Majlis Tautan Mesra & Perpaduan Kementerian Pengangkutan 2023. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perkhidmatan bas perantara percuma untuk Ahli Parlimen dan petugas Parlimen dari KL Sentral ke bangunan Parlimen akan dimulakan pada persidangan Parlimen akan datang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri majlis Tautan Mesra dan Perpaduan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, Loke berkata hasrat memperkenalkan perkhidmatan itu telah dinyatakan kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan beliau bersetuju dengan cadangan tersebut.

Loke berkata perbincangan lanjut dengan pihak pentadbiran Parlimen akan dilakukan untuk memastikan isu keselamatan tidak dikompromi serta berkenaan aspek penyelarasan seperti penggunaan pas tetap untuk memasuki kawasan Parlimen.

"Kita akan lihat bagaimana untuk melaksanakannya dari segi mekanisme mengambil pas keselamatan," katanya menambah perkhidmatan bas perantaran itu adalah usaha untuk mengurangkan kesesakan di kawasan Parlimen serta memberi contoh kepada masyarakat untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Februari ini.

Sementara itu, Loke berkata perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa Dua akan beroperasi pertengahan Mac depan dari Putrajaya Sentral ke Kwasa Damansara dengan jarak lebih 50 kilometer.

Ketika ini, katanya perkhidmatan tersebut sedang melaksanakan percubaan membabitkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai pengawal selia.

Sementara itu ditanya mengenai pembinaan Pelabuhan Laut Dalam dan Terminal Pelayaran Antarabangsa di Melaka, Loke berkata ia hanyalah cadangan awal dan tiada sebarang lesen operasi diberikan.

Beliau berkata pemberian lesen hanya akan dibuat selepas kajian berkaitan dijalankan termasuk Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) sebelum pembangunan dimulakan.

Pada 1 Feb lepas, dilaporkan sebanyak 26 badan bukan kerajaan (NGO) membantah projek tambak laut seluas 1,190 ekar di kawasan Alai, Melaka, yang bertujuan membina sebuah Pelabuhan Laut Dalam dan Terminal Pelayaran Antarabangsa. - Bernama