Lelaki disyaki simbah cat Masjid Tengkera ditahan

Pintu kayu di bahagian hadapan Masjid Tengkera disimbah cat berwarna ungu.
Pintu kayu di bahagian hadapan Masjid Tengkera disimbah cat berwarna ungu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Masjid Tengkera di Jalan Tengkera di sini, dicemari simbahan cat di bahagian pintu hadapan rumah ibadat itu di sini, awal pagi tadi.

Simbahan cat berwarna ungu di pintu kayu masjid itu disedari jemaah yang ingin menunaikan solat subuh kira-kira jam 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat daripada seorang pengadu berusia 40 tahun yang turut membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

"Bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun lebih kurang jam 9 pagi, yang disyaki terlibat dengan perbuatan khianat menyimbah cat di pintu masjid itu.

"Seorang pekerja masjid dipercayai ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali melakukan perbuatan itu. Kita tahan individu itu tidak jauh dari masjid dan turut merampas sebuah tin cat berwarna ungu," katanya.

Menurutnya, suspek yang ditangkap untuk disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu mempunyai satu rekod lampau.

Sinar Harian difahamkan, ini insiden khianat yang ketiga berlaku membabitkan rumah ibadat di negeri ini selepas insiden melemparkan daging babi di dua buah surau di Serkam November tahun lalu.

Artikel Berkaitan: