Konsep Malaysia Madani boleh diperluas ke peringkat ASEAN

Fahmi
Fahmi
A
A
A
KUALA LUMPUR - Konsep Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh diperluaskan ke peringkat ASEAN untuk memacu pembangunan serantau, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Katanya, beliau percaya ASEAN madani juga boleh menjadi satu realiti jika blok serantau 10 negara dengan lebih 660 juta penduduk itu dapat memacu pertumbuhan negara masing-masing secara kolektif.

"Malaysia Madani ini bagi saya adalah satu pengharapan dan satu doa supaya kita boleh menzahirkan sebuah Malaysia yang lebih baik. Ada juga aspek peranan hubungan kita dengan negara-negara jiran.

"Malaysia sahaja untuk maju ke depan seorang diri mungkin tak mampu, tetapi kalau kita berkolaborasi dan bekerjasama, lihat kekuatan kita, bagaimana kita boleh memacu pertumbuhan dalam negara masing-masing secara kolektif dalam kerangka ASEAN," katanya semasa sesi rakaman program Ruang Bicara di Bernama TV yang akan disiarkan pada 9 malam Khamis.

Fahmi bagaimanapun mengakui ia adalah satu cabaran yang besar memandangkan setiap negara ASEAN mempunyai keadaan yang berbeza.



Dalam mendepani cabaran bidang ekonomi digital untuk bersama-sama maju ke hadapan dengan negara ASEAN, Fahmi berkata, beliau dan rakan sejawatannya dari Singapura, Josephine Teo, akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) Keenam Bidang Penerangan dan Komunikasi pada Sabtu ini.

Beliau juga akan bertemu dengan menteri-menteri digital ASEAN pada 9 dan 10 Februari ini di Filipina.

"Jadi saya lihat dalam saya dapat mengikut Perdana Menteri ke Singapura tempoh hari, itu adalah langkah pertama. Diikuti dengan mesyuarat pada 4 Februari dan ada beberapa mesyuarat yang lain, hasrat saya dan juga kementerian ialah akhirnya kita nak bawa masuk pelaburan.

"Ini akan dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara kita, menjayakan Malaysia Madani untuk mungkin satu hari nanti menjayakan ASEAN Madani," kata Fahmi.

Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri pada 19 Januari lepas mempunyai enam tonggak dasar yang meliputi kemampanan; kesejahteraan; daya cipta; hormat; keyakinan dan ihsan. - Bernama