Piala MFL platform pemain muda pikat Elavarasan

Elavarasan
Elavarasan
A
A
A

KEHADIRAN Piala MFL yang bermula pada 2 Mac ini akan memberikan lebih banyak pilihan buat pengendali Bawah 23 negara, E Elavarasan dalam mencari kesebelasan terbaik bagi memikul cabaran negara terutama di pentas Sukan SEA 2023.

Menurutnya, Piala MFL ini juga akan menjadi platform terbaik kepada pemain-pemain muda bagi memperagakan bakat mereka sekali gus mengekalkan kecergasan mereka di tahap kompetitif untuk sepanjang musim.

"Memang satu situasi berbeza kerana sebelum ini saya hanya memantau perkembangan pemain dalam skuad utama dan kali ini kita sudah ada Piala MFL.

"Kejohanan Sukan SEA merupakan tugasan pertama saya bersama pasukan dan sudah tentu, saya mengharapkan mampu mendapatkan pemain yang terbaik.

"Jadi dengan adanya Piala MFL, saya rasa boleh mencungkil pemain-pemain baharu untuk pasukan selain boleh mendapatkan minit permainan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan Liga Super.

"Kehadiran pemain-pemain import mungkin boleh dijadikan panduan kepada pemain-pemain muda ini terutama kepada mereka yang masih baharu dengan suasana pertandingan seperti ini,” katanya.

Kumpulan A memperlihatkan lapan pasukan bakal bersaing iaitu Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.

Sementara itu, baki tujuh lagi pasukan membabitkan Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC akan bermain dalam Kumpulan B.