Agensi umrah borong tiket tidak benar - MOTAC

Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di wilayah Aichi, Jepun. - Foto 123RF
Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair di wilayah Aichi, Jepun. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan isu dakwaan terdapat syarikat umrah monopoli tiket penerbangan ke Tanah Suci dan menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 bagi mengaut keuntungan besar.

Unit Komunikasi Korporat MOTAC dalam kenyataan berkata, perkara itu yang mana turut didakwa memberi keutamaan kepada kepada jemaah Indonesia berbanding Malaysia adalah tidak benar sama sekali.

"MOTAC memandang serius terhadap kenyataan tersebut kerana situasi ini dikatakan menjadi antara punca berlakunya kesukaran untuk mendapatkan tiket penerbangan yang secara tidak langsung menaikkan lagi kos pakej umrah sejak akhir-akhir ini.

"Berikutan isu berkenaan, MOTAC mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, bersama Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).

"Selain itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Suruhanjaya Persaingan (MyCC), Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan AMAL by Malaysia Airlines (AMAL), Persatuan Syarikat Pengendali Pelancongan Bumitra (Bumitra), Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan

Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), pada Selasa," katanya.

Menurut kenyataan itu, ahli mesyuarat berpandangan bahawa harga tiket umrah yang ditawarkan oleh AMAL adalah pada kadar harga yang munasabah dan berpatutan.

"Dalam pada itu, AMAL sebagai sebuah entiti yang berperanan untuk menguruskan penjualan tiket umrah di dalam negara, menyasarkan Malaysia sebagai hab penerbangan umrah serantau, turut menjual tiket penerbangan umrah kepada jemaah dari negara jiran khususnya Indonesia.

"Walau bagaimanapun, bilangan yang dijual kepada jemaah Indonesia ini hanyalah sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti yang sedia ada.

"Manakala, baki 90 peratus adalah ditawarkan kepada jemaah Malaysia yang mana masih mencukupi untuk ditempah oleh agensi pengurusan umrah dan juga rakyat Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, ujarnya, pihak AMAL turut diminta meneliti semula keseragaman pembahagian tiket penerbangan umrah bagi memastikan semua syarikat pengendali umrah tempatan yang dilesenkan oleh MOTAC mendapat peluang yang lebih terbuka.

"Tindakan ini bertujuan memberi manfaat secara langsung kepada orang ramai yang ingin mengerjakan umrah," ujarnya