Hannah puji semangat membara Azizulhasni

Catatan Hannah di Facebook pada Khamis.
Catatan Hannah di Facebook pada Khamis.
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memuji semangat jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang yang mempunyai tekad besar untuk meraih kejayaan tertinggi di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, keazaman seperti itu perlu menjadi matlamat setiap atlet negara untuk berjaya dalam apa jua jenis sukan mereka ceburi.

“Sejujurnya, pemikiran seperti ini yang diperlukan oleh setiap atlet untuk berjaya,” tulis Hannah di Facebooknya pada Khamis.

Hannah berkata, permulaan bagi setiap kejayaan adalah bermula pada diri atlet itu sendiri iaitu keinginan untuk melakukan yang terbaik dan melakar kecemerlangan dalam setiap kejohanan yang disertai.

Sambil mengambil contoh Azizulhasni sebagai idola yang wajar dicontohi oleh atlet muda.

“Azizulhasni (Awang) sememangnya mempunyai keinginan untuk cemerlang. Ia bermula dengan keinginan untuk berjaya,” katanya.

Hannah (kanan) bersama Azizulhasni (tengah) pada majlis Anugerah Sukan Negara Selasa lalu. Foto FB Hannah Yeoh
Hannah (kanan) bersama Azizulhasni (tengah) pada majlis Anugerah Sukan Negara Selasa lalu. Foto FB Hannah Yeoh



Azizulhasni yang dinobatkan sebagai Olahragawan buat kali kelima Selasa lalu sedia menggalas tanggungjawab bagi merealisasikan impian membawa pulang pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Malah, dia yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman turut mencabar mana-mana atlet negara untuk bersamanya memikul amanah besar itu sebagai sandaran memenangi emas pertama di pentas Olimpik Paris 2024.

Ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung pada Ogos 2021, Azizulhasni yang diletakkan sandaran untuk meraih emas, terpaksa berpuas hati dengan kejayaan membawa pulang perak dalam acara keirin.