JPNS siasat dakwaan tuba, racun udang galah

Kasim Tawe
Kasim Tawe
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) sedang menyiasat dakwaan berlaku aktiviti menuba dan menangkap udang galah menggunakan racun di Sungai Linggi, dekat sini, kata pengarahnya Kasim Tawe.

Beliau berkata, tiada sebarang laporan daripada nelayan berhampiran diterima setakat ini namun siasatan terperinci telah dilakukan diketuai pegawai perikanan Daerah Tampin dengan keputusannya akan diketahui dalam masa terdekat.

"Kebiasaannya sebelum menjala udang, mereka akan tabur umpan seperti kelapa parut dan udang akan terkumpul. Sekiranya ada berlaku pencemaran akibat aktiviti meracun, ia akan mengalir di seluruh Sungai Linggi namun tiada sebarang aduan adanya udang mabuk atau timbul.

"Jadi kami rasa ia mungkin bukan aktiviti meracun, sebab kita hanya tengok gambar (yang dimuat naik) sahaja, tidak jelas, kalau tengok gambar itu... normal untuk satu tangkapan dalam tempoh dua ke tiga jam (peroleh) kira-kira lima ke enam kilogram (udang), tapi kita akan siasat dan dapatkan penilaian sebenar,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Kasim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berlaku aktiviti menangkap udang galah menggunakan racun dan menuba di Sungai Linggi yang dimuat naik pengguna di laman sosial Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktviti meracun atau menuba hidupan berkenaan supaya segera melaporkan kepada JPNS untuk tindakan segera di bawah Akta Perikanan 1985 sekali gus membendung aktiviti itu daripada berleluasa.

Jelasnya, kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan kepupusan terhadap induk udang galah malah pada benihnya sehingga boleh menghilangkan satu kitaran hidupan itu yang akhirnya menjejaskan keseluruhan ekosistem pembiakan udang galah secara semula jadi di sungai.

Sementara itu, Kasim berkata JPNS dijangka melepaskan 200,000 anak udang galah dan ikan ke seluruh perairan di negeri ini termasuk di Sungai Linggi, Sungai Muar dan sungai-sungai di Jelebu pada bulan depan bertujuan menambah spesies hidupan itu dan mengekalkan habitatnya selain meningkatkan pendapatan nelayan darat.- Bernama