Felcra sediakan perlindungan Perkeso untuk 10,000 pekerja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima sumbangan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada Felcra Berhad bagi 10,000 peserta agensi itu menerusi inisiatif Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Tani di bawah Program SPS Padanan Caruman.

Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan, SPS Padanan Caruman adalah inisiatif geran padanan kerajaan yang diperkenalkan dalam Bajet 2022 bertujuan menggalak dan meringankan beban golongan bekerja sendiri bagi mendapat perlindungan sosial.

Menurutnya, tajaan caruman tersebut direalisasikan melalui projek Tango yang mengumpulkan usahawan dan golongan bekerja sendiri termasuk pekerja gig secara dalam talian untuk menarik golongan ini di seluruh negara.

Ujar Perkeso, faedah skim itu memberi perlindungan kepada orang bekerja sendiri daripada bencana termasuk penyakit dan kemalangan semasa melakukan aktiviti berkaitan pekerjaan.

"Antaranya perubatan, hilang upaya sementara dan upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan kemudahan pinjaman pendidikan.

"Hampir 711,000 pencarum aktif berdaftar di bawah SKSPS daripada kira-kira 2.8 juta orang yang bekerja sendiri di seluruh negara memilih perlindungan ini bukan sahaja kepada individu tetapi juga tanggungan mereka sekiranya berlaku kematian semasa aktiviti bekerja.

"Pihak kerajaan membiayai 80 peratus daripada caruman Pelan 2 manakala, pencarum bekerja sendiri hanya perlu membayar 20 peratus iaitu RM46.60 sahaja daripada jumlah penuh," jelas Perkeso pada Khamis.

Tambah Perkeso, sumbangan caruman Felcra itu mencerminkan penghargaan dan komitmen bagi membuka peluang kepada masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup melalui penyertaan aktiviti ekonomi.