Nik Nasarudin dilantik sebagai KSU KPM

Nik Nasarudin (kanan) dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkuat kuasa Khamis.
Nik Nasarudin (kanan) dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkuat kuasa Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkuat kuasa Khamis.

Nik Nasarudin, 57, berpengalaman luas dalam pelbagai bidang terutama melibatkan aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan serta pentadbiran dan pembangunan modal insan setelah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, beliau telah berada dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun.

Beliau bermula sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (guru) yang disandang dari tahun 1990 sebelum dilantik ke Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 16 Disember 1996.

Menerusi kenyataan pada Khamis, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, beliau yakin Nik Nasarudin mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi kementerian untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani.