Pembersihan UMNO: Ahmad Maslan elak jawab soalan politik

Ahmad Maslan pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Sesi Dialog Belanjawan 2023 Negeri Sembilan di sebuah hotel, di sini pada Rabu.
Ahmad Maslan pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Sesi Dialog Belanjawan 2023 Negeri Sembilan di sebuah hotel, di sini pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilihat mengelak untuk menjawab soalan mengenai kemelut politik melanda parti itu ketika ini.

"Politik tidak ada sebarang kenyataan," ujar beliau kepada media pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Sesi Dialog Belanjawan 2023 Negeri Sembilan di sebuah hotel, di sini pada Rabu.

Beliau seolah-olah mengerti kemungkinan akan ditanya soalan berhubung isu berkenaan sebelum sempat ditanya media.

Meskipun diminta memberi sedikit ruang untuk bertanya mengenai politik, Ahli Parlimen Pontian itu sekali lagi menegaskan tiada kenyataan politik daripadanya.

Sebelum itu, Ahmad hanya menjelaskan mengenai intipati sesi dialog diadakan yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO membuat ketetapan memecat bekas ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar kerana melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.