PMINT sasar perolehan RM100 juta tahun ini

Wan Adnan (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada seorang kakitangan Kumpulan PMINT.
Wan Adnan (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada seorang kakitangan Kumpulan PMINT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kumpulan Perbadanan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM100 juta pada tahun ini melalui sembilan anak syarikatnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Adnan Wan Derahman berkata, jumlah tersebut lebih tinggi berbanding perolehan pada tahun lepas yang dianggarkan berjumlah RM60 juta.

Menurutnya, PB Hotel Management Sdn Bhd yang menguruskan operasi PB Hotel di bandaraya ini merupakan antara penyumbang terbesar dalam perolehan kumpulan pada tahun lepas.

“Bagi mencapai sasaran perolehan pada tahun ini, kita telah menyusun semula beberapa strategi dari segi operasi dan pemasaran bagi meningkatkan prestasi semua anak syarikat seperti Pertima Terengganu Sdn Bhd seperti P-Excell Management Sdn Bhd.

“Insya-ALLAH, TTI Management Sdn Bhd sendiri akan mula menampakkan keuntungan walaupun sebelum ini bergelut dengan kos operasi yang tinggi selepas dipilih sebagai hab pelancongan ke Pulau Redang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selepas ditemui pada Majlis Makan Malam Anak Syarikat Kumpulan PMINT yang dihadiri lebih 400 kakitangan kumpulan tersebut di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini malam Selasa.

Wan Adnan berkata, P-Excell Management Sdn Bhd iaitu anak syarikat yang terlibat dalam pembangunan hartanah akan membangunkan lebih banyak kawasan perumahan komersial di beberapa lokasi berpotensi

Katanya, sektor tersebut dijangka menyumbang kira-kira 40 peratus atau RM40 juta kepada perolehan Kumpulan PMINT.

“Antara kawasan tersebut adalah di Durian Mentangau, Dungun dan Kerteh, Kemaman, kita juga melihat kediaman berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 lebih berpotensi dan mendapat sambutan,” katanya.