‘UMNO mesti diselamatkan, tidak boleh ada duri dalam daging’

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa keputusan yang dilakukan beliau dalam kepimpinan UMNO itu bertujuan untuk menyelamatkan parti tersebut daripada pihak-pihak yang menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.

Ahmad Zahid berkata, beliau meraikan sebarang perbezaan pendapat namun, tidak akan sesekali berkompromi jika terdapat mana-mana pihak yang menyentuh soal integriti parti berkenaan.

Ujar beliau, sebagai individu yang diberi amanah untuk mengetuai parti, beliau tidak boleh membiarkan sebarang serangan yang boleh menjejaskan parti.

“Serangan bukan hanya datang dari luar, kita kenal musuh di luar dan kita juga kenal musuh di dalam. (Perbuatan) Baling batu sembunyi tangan itu sangat banyak tapi saya harus bersangka baik dengan semua orang akan perkara ini, tetapi sebagai seseorang yang diberikan amanah memimpin parti, adakah saya mahu membiarkan keadaan itu berlaku?

"Parti mesti diselamatkan, parti tidak boleh ada gunting dalam lipatan atau duri dalam daging. Bagaimana jika sampah masuk ke mata? Kita buka matapun sakit, tutup matapun sakit, kita harus buang sampah itu untuk jaga mata supaya penglihatan kita jelas.

"Itu dipanggil 'political clarity' (kejernihan parti) itu harus dilakukan, (tetapi) saya tidak menuduh atau memaksudkan sesiapa, saya meraikan perbezaan pendapat, silakan bercakap tetapi apabila integriti parti disentuh saya tidak boleh berkompromi dalam perkara ini," katanya ketika dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Desa Makmur Luar Bandar Sejahtera' di saluran Bernama TV pada Selasa.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi memutuskan dua pemimpin dipecat iaitu bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut memutuskan beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sebagai pemimpin parti, beliau tidak boleh mengambil mudah, berpendirian syok sendiri dan menganggap semua pihak akan menyokongnya.

Jelasnya, sekiranya ada kritikan sama ada daripada luar atau dalam parti, pemimpin perlu terima dan tanganinya dengan sebaik mungkin.

“Kalau khuatir dilanda ombak jangan buat rumah di tepi pantai, sebenarnya tiang serinya harus kukuh biarlah tsunami mendatang sekalipun, itu yang harus kita terapkan di dalam minda kita.

“Kita sebagai pemimpin harus ada (pemikiran) di dalam minda kita, berapa ramai sokong kita, itulah jugalah jumlah orang yang tidak suka kita, ertinya mesti ada semak dan imbang dalam perkara itu.

"Jangan jadi pemimpin syok sendiri, mengatakan semua orang sokong atau tidak sokong dengan kita. Saya fikir kritikan dari luar dan dalam pasti terima dan ditangani secara sebaik mungkin," ujarnya.