[VIDEO] 'PH, BN masih belum dapat tidur sebilik' - Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi berkata, tsunami PN pada PRU15 pastinya akan memberikan kesan yang panjang dan PN mahu mengekalkan prestasi berkenaan di seluruh negara termasuk Kedah.

Muhammad Sanusi - Foto: UPDA
Muhammad Sanusi - Foto: UPDA
A
A
A

ALOR SETAR – Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sehingga kini masih belum mampu menandingi gelombang Perikatan Nasional (PN) malah sokongan rakyat terhadap PN dijangka diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PN Negeri Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PH dan BN dilihat masih belum dapat tidur sebilik lagi biarpun membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin UMNO beberapa hari lalu yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu bukan sahaja memberikan kesan sokongan rakyat kepada BN tetapi juga dijangkakan turut menjejaskan PH pada PRN.

“Kita cuba untuk (tawan) Negeri Sembilan dan Selangor. Tidak mustahil pun dengan gelombang, momentum, kehendak rakyat sekarang ini.

“Pulau Pinang dikekalkan (oleh PH), (tapi) mereka mengaku dengan kehilangan beberapa kerusi di sana (pada PRU15). Momentum tersebut akan dikekalkan malah akan ditingkatkan sehingga PRN.

“Kita ada pendekatan. Kita ada strategi. kita sudah ada rancangan untuk kita laksanakan tapi kita tengoklah PH-BN ini boleh buat apa, nampak belum dapat tidur sebilik lagi,” katanya pada sidang akhbar pada malam Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa PN mampu untuk menawan Selangor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu pada PRN.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, dekat sini.

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) bersama beberapa jemputan utama pada Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar pada malam Selasa. - Foto: UPDA
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) bersama beberapa jemputan utama pada Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar pada malam Selasa. - Foto: UPDA

Pengarah Pilihanraya Pas itu berkata, tsunami PN pada PRU15 pastinya akan memberikan kesan yang panjang dan PN mahu mengekalkan prestasi berkenaan di seluruh negara termasuk Kedah.

“Saya selalu sebutkan kalau BN campur dengan PH, mereka tidak akan dapat mengatasi BN di 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (di Kedah) dan keadaan itu akan kekal sehingga sekarang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menjelaskan sudah pun mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa Menteri Besar berhubung masa paling sesuai untuk mengadakan PRN secara serentak.

Beliau berkata, perkara tersebut penting kerana pengundi di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan boleh pulang serentak untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

“Perbincangan tidak rasmi sudah ada macam saya tanya Menteri Besar Negeri Sembilan, bukan dia saja-saja nak bubar pada bulan Mei pasal terbubar sendiri akhirnya pada Jun. Kalau kita nak sekalikan dalam tempoh dua bulan sampai Julai, dalam tempoh 60 hari iaitu antara 1 Jun hingga 31 Julai.

“Secara tidak rasmi perbincangan sudah diadakan, kita tidak ikut PH, kita harap PH ikut PN. Penting kerana melibatkan orang yang balik mengundi,” jelasnya.