Ejek-mengejek dalam kelas bertukar gaduh

Tiga pelajar sekolah menengah direman empat hari bermula Selasa selepas dipercayai bergaduh dengan rakan di sebuah sekolah di Kubang Kerian, di sini pada Isnin. - Gambar hiasan
Tiga pelajar sekolah menengah direman empat hari bermula Selasa selepas dipercayai bergaduh dengan rakan di sebuah sekolah di Kubang Kerian, di sini pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga pelajar sekolah menengah direman empat hari bermula Selasa selepas dipercayai bergaduh dengan rakan di sebuah sekolah di Kubang Kerian, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 1.45 petang, mangsa berusia 14 tahun itu mendakwa telah dipukul oleh tiga rakannya semasa berada di dalam kelas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan berkait kejadian tersebut pada jam 7.51 malam.

"Siasatan awal mendapati punca pergaduhan berlaku kerana saling mengejek semasa berada di dalam kelas.

"Mangsa yang mengalami sakit pada bahagian badan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, polis telah menangkap tiga suspek yang berusia 14 hingga 15 tahun bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan.