Revolusi penolakan rasuah secara total belum cukup matang

Malaysia merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International sejak tiga tahun lalu. Gambar kecil: Nurhayati
Malaysia merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International sejak tiga tahun lalu. Gambar kecil: Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM – Revolusi penolakan rasuah secara total di negara ini masih belum cukup matang kerana masih terdapat halangan yang perlu dialihkan agar Malaysia mampu meningkatkan prestasi persepsi rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, menyedari hakikat tersebut, laungan barisan kepimpinan baharu Malaysia yang meletakkan reformasi anti rasuah sebagai keutamaan sewajarnya menzahirkan dengan mekanisme sistem menyeluruh, termasuk menghentikan pemboleh korupsi seperti kronisme, nepotisme, favoritism yang mampu meningkatkan risiko rasuah.

Menurutnya, ia membuka ruang bias, prejudis dan menimbulkan isu sama ada serius atau pun remeh temeh serta menyukarkan kawalan konflik kepentingan.

“Ini berkemungkinan memperlahankan pembangunan sekali gus menjadi penghalang terbesar kepada usaha kita semua untuk menentang rasuah.

“Ketidakstabilan politik, ketirisan, kronism, nepotism, kelompongan undang-undang dan sebagainya adalah halangan kepada Malaysia untuk meningkatkan prestasinya. Batu-batu penghalang ini harus kita alihkan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau mengulas laporan terbaharu Transparency International-Malaysia (TI-M) yang merekodkan Malaysia sekali lagi mencatatkan penurunan mata dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) iaitu mendapat mata CPI 47, tahun lalu.

Ia menjadikan negara merekodkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan Transparency International sejak tiga tahun lalu.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, janji besar menolak rasuah oleh kepimpinan baharu juga memerlukan langkah gergasi kerana keputusan terbaharu CPI menunjukkan transformasi yang perlu dilakukan tentunya juga lebih sulit.

“CPI yang memberi kesan langsung kepada pelaburan dan hubungan antara negara dalam pembangunan ekonomi, menunjukkan bahawa agenda anti rasuah dan integriti harus menjadi strategi penting dalam reformasi institusi serta perundangan secara komprehensif.

“Prestasi sistem tadbir urus harus diteliti semula dan kompetensi pegawai-pegawai harus dinilai untuk negara ini benar-benar dapat memerangi rasuah,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, dalam situasi kritikal Malaysia, gerakan sosial yang didokong oleh rakyat harus terus dijadikan gelombang kebangkitan transformasi budaya nilai.

Ujarnya, kerajaan juga harus lebih terbuka menerima penglibatan dan pandangan pakar, professional dan masyarakat sivil yang bersedia memberikan sumbangan kerjasama dalam mempertingkatkan tahap integriti, akauntabiliti dalam usaha membendung rasuah.

“Kita harus yakin bahawa kesan rasuah memberi impak kepada kestabilan dan ekonomi serta kemakmuran negara. Kefahaman tentang tanggungjawab membawa negara kepada posisi yang lebih baik bergantung penuh kepada sikap kerajaan dan rakyat seluruhnya.

“Utamakan komitmen anti-rasuah, iktiraf suara rakyat demi menjamin Malaysia yang lebih selamat dan berkat,” katanya.