73 peratus belia Malaysia berhutang - Kajian

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian dilakukan Pusat Penyelidikan Undian UCSI University mendapati 73 peratus daripada belia di dalam negara sudah mempunyai komitmen hutang.

Menurut badan penyelidikan itu, kajian melibatkan 1,077 responden terdiri daripada kumpulan belia turut menunjukkan kira-kira tiga perempat daripada golongan tersebut tidak mempunyai modal mencukupi untuk komitmen kewangan.

“Meskipun angka peminjam itu membimbangkan, namun 83 peratus daripada mereka mampu membayar pinjaman itu tepat pada masanya,” kata pusat kaji selidik itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, alasan utama diberikan untuk membuat pinjaman adalah kekangan kewangan iaitu sebanyak 42 peratus, inflasi (22 peratus) dan gaya hidup mewah (21 peratus).

Dalam pada itu, berkenaan tujuan peminjaman pula, dapatan penyelidikan berkenaan mendapati 30 peratus daripada responden menyatakan ia dilakukan bagi kenderaan, pendidikan (28 peratus) dan perumahan (16 peratus).

“Berdasarkan dapatan ini, kenderaan dan pendidikan menjadi faktor utama golongan belia berhutang.

“Perkara ini agak membimbangkan dengan melihat pinjaman untuk kenderaan paling tinggi kerana menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman kenderaan (14.39 peratus) berada di tangga kedua menjadi punca muflis selepas pinjaman peribadi (42.24 peratus) bagi tahun 2022,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut pusat penyelidikan itu, 73 peratus daripada responden sedar akan kesan sekiranya mereka gagal melunaskan pinjaman dan ia menunjukkan bawah belia di Malaysia tidak membuat pinjaman secara membuta tuli.

Berkait kesan Covid-19 terhadap gaya hidup atau kos kehidupan belia, kaji selidik itu mendapati 58 peratus responden mengakui status kewangan mereka terjejas ekoran penularan wabak tersebut.

Ia susulan daripada kesan langsung pengangguran, pendapatan tidak stabil dan peningkatan komitmen memandangkan pandemik turut menjejaskan banyak syarikat serta individu di dalam negara.

Pada masa sama, dapatan kaji selidik itu menunjukkan bahawa peningkatan kos hidup dan simpanan yang tidak mencukupi merupakan alasan utama mereka berdepan kesulitan kewangan.

Ketua Penyelidikan dan Pengajian Pascasiswazah, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan University UCSI, Dr Hassanudin Mohd Thas Thaker berkata, berdasarkan kaji selidik itu, kebanyakan belia didapati berhutang kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk memulakan kehidupan sehingga menyebabkan mereka membuat pinjaman.

“Dapat disimpulkan bahawa majoriti orang muda berdepan kesulitan kewangan yang besar ketika pandemik Covid-19 melanda. Dengan krisis kewangan semasa, inflasi turut menyumbang kepada angka peminjam dalam kalangan anak muda di Malaysia.

“Selain itu, terdapat ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran yang menyebabkan masalah berterusan,” katanya.

Responden yang menyertai kaji selidik tersebut berusia 18 hingga 40 tahun dengan 48 peratus daripadanya adalah Cina, 38 peratus Melayu dan 14 peratus India.