Pakej Perpaduan Internet untuk B40 akan diperkenal

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pakej Perpaduan Internet talian tetap khusus untuk golongan B40 di negara ini akan diperkenalkan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) 2023 di sini pada Selasa, beliau berkata, Ketua Setiausaha (KSU) KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek telah diarahkan untuk membuat rundingan dengan pihak berkaitan berhubung pakej itu.

"Sebelum ini kita ada umum Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih untuk telefon bimbit. Selepas ini kita akan hantar KSU (buat rundingan), untuk pastikan Pakej Perpaduan bagi Internet jalur lebar talian tetap,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas, yang akan berada di pasaran mulai Februari.

Pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

Sementara itu, Fahmi berkata syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi memainkan peranan penting dalam melengkapkan tiga peratus akses Internet di kawasan yang belum diselesaikan serta baki 97 peratus yang dikesan mempunyai pothole.

Fahmi berkata beliau dan timbalannya Teo Nie Ching akan memastikan isu Internet dalam negara diselesaikan secepat mungkin. - Bernama