BB Charity beri manfaat kepada 600 penerima

Chai (tengah) bersama mereka yang terlibat dalam menjayakan BB Charity yang ke-16 yang diadakan di Kuala Lumpur.
Chai (tengah) bersama mereka yang terlibat dalam menjayakan BB Charity yang ke-16 yang diadakan di Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Bukit Bintang telah menganjurkan program BB Charity yang ke-16 untuk memberikan manfaat kepada 600 penerima sempena Tahun Baharu Cina.

Presiden KLCAH dan Pertubuhan Kebajikan Bukit Bintang, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, penerima sumbangan itu terdiri daripada warga emas, golongan gelandangan, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Pertubuhan BB Charity memainkan peranan penting sebagai pertubuhan kebajikan dengan membantu golongan yang memerlukan untuk menikmati dan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Sebelum pandemik Covid-19, program BB Charity merupakan sebuah karnival yang besar, KLCAH pasti akan menganjurkan pemberian sumbangan tahun baharu berskala besar kepada insan yang kurang berkemampuan dan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan.

Chai berharap kerajaan baharu yang ditubuhkan peka terhadap individu yang memerlukan bantuan dengan memperkenalkan pelbagai dasar untuk meningkatkan kualiti sara hidup mereka.

“Isu gelandangan di Kuala Lumpur pula telah lama diperdebatkan sejak dahulu lagi, kerajaan persekutuan sewajarnya menyediakan tempat perlindungan khas yang selamat untuk golongan tersebut dalam dasar-dasar tertentu,” jelasnya.

Hadir sama Pemangku Presiden Pertubuhan Kebajikan Bukit Bintang, Tan Seong Hwa,Pengerusi jawatankuasa penganjur, Steven Lee Teng Sun, Pengurus Besar Kumpulan Super Mart, Tee Kok Hiem dan Naib Presiden Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH), Lim Lay Hooi.

Beliau berkata, kerajaan mampu untuk menjana pendapatan sebaik mungkin termasuklah pelbagai bantuan dana terutama perbelanjaan sektor pelancongan bagi bajet 2023 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari depan.

“Sehingga hari ini dalam Kerajaan Perpaduan, menteri mendengar suara rakyat dan memahami gaya hidup semasa dan rakyat juga berpuas hati dengannya.

“Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkan bahawa anggaran sebanyak RM100 juta akan dibelanjakan untuk 260 projek pengindahan bandar untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar bertaraf antarabangsa, dimana merupakan satu berita baik untuk rakyat Malaysia,” katanya.