Normalkan semula sesi persekolahan

Komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan takwim sesi persekolahan yang dianjak kepada Mac sejak tahun lepas akan dikembalikan semula kepada jadual asal (Januari) diharap menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi. - Gambar hiasan
Komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan takwim sesi persekolahan yang dianjak kepada Mac sejak tahun lepas akan dikembalikan semula kepada jadual asal (Januari) diharap menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi. - Gambar hiasan
A
A
A

FEBRUARI ini merupakan bulan terakhir bagi sesi persekolahan 2022/2023. Pelajar akan mula bercuti panjang selepas penggal ketiga berakhir, iaitu bermula pada 17 Februari sebelum penggal pertama sesi 2023/2024 membuka tirai pada 19 Mac.

Semua pelajar akan ‘naik darjah’ berpakaian serba baharu pada Mac namun keterujaan memasuki kelas baharu tidak lagi sama suasananya seperti memulakan sesi persekolahan pada Januari seperti lazimnya.

Peralihan cuti akhir persekolahan membuatkan pelajar tidak dapat merasai nikmat menantikan cuti panjang akhir tahun untuk merehatkan minda bercuti bersama keluarga mahupun merasai semangat baharu untuk naik darjah.

Kemeriahan untuk raikan tamatnya sesi persekolahan kini tidak lagi terasa.

Ramai yang tidak lagi menunggu-nunggu ketibaan cuti penggal akhir selepas lelah menghadap alam pembelajaran sepanjang tahun.

Momen untuk naik darjah yang seringkali diiringi dengan sambutan tahun baharu tidak lagi meriah, ia sudah menjadi perkara biasa sama ada untuk pelajar, guru mahupun ibu bapa.

Semua itu telah berlalu gara-gara ‘encik Covid’ (Covid-19) yang berkunjung tiga tahun lalu.

Malah murid sekolah rendah seakan masih keliru dengan sesi persekolahan yang melangkaui tahun.

Ada yang masih tidak faham kenapa apabila tahun baharu mereka masih lagi dalam darjah yang sama.

Ia menjadikan suasana agak hambar dan cuti sekolah yang kebiasaan dihabiskan bersama keluarga untuk bercuti hilang serinya disebabkan masih berbaki sepenggal walaupun telah melepasi Disember.

Melangkah memasuki Januari, terpaksa pula mengulang kaji untuk menghadapi peperiksaan akhir.

Naik darjah hanya dalam bulan Mac, tidak lagi disambut serentak dengan kemeriahan tahun baharu.

Perubahan takwim sesi persekolahan turut mengheret mood yang begitu ketara perbezaannya antara sebelum dan selepas Covid-19, yang menyaksikan sesi bermula pada Mac dan berakhir pada Februari tahun berikutnya.

Diharap selepas Covid-19 reda, kita akan kembali kepada sesi persekolahan seperti sebelum ini.

Komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan takwim sesi persekolahan yang dianjak kepada Mac sejak tahun lepas akan dikembalikan semula kepada jadual asal (Januari) diharap menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi.

Pada Disember lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menyatakan bahawa terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau turut menasihati agar ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kementerian sedang berusaha ke arah itu.

Bagaimanapun, ia tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tahun 2023 kerana kalendar akademik beserta justifikasi telahpun dikeluarkan.

Antara aspek yang perlu dijadikan panduan oleh KPM dalam merombak semula takwim termasuk jumlah hari bersekolah seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.

Selain itu, KPM turut perlu mengambil kira takwim bagi sekolah-sekolah di negeri Kumpulan A dan B, berikutan bimbang sekiranya berlaku kacau ganggu terhadap proses pendidikan pelajar selain mengambil kira peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan berlangsung.

Apa jua perubahan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa. Kita harus faham sebarang peralihan sesi perlu diberikan tempoh yang sesuai terutama untuk selaraskan semula tarikh-tarikh penting peperiksaan utama.

Penyelarasan tiga penggal dalam setahun sememangnya kehendak semua warga sekolah, namun kita harus berikan ruang secukupnya kepada KPM untuk penyesuaian semula.

Diharap atas kebijaksanaan Menteri Pendidikan baharu mengemudi KPM, alam persekolahan akan kembali normal dan pelajar dapat memulakan sesi pada Januari dan berakhir pada Disember.

* Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara