Polis kesan pemandu lawan arus di MRR2

Sedutan video tular pemandu kereta melawan arus seperti tular pada Isnin.
Sedutan video tular pemandu kereta melawan arus seperti tular pada Isnin.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki dikesan memandu kereta secara melawan arus di Kilometer 11.9 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian tersebut tular menerusi rakaman video berdurasi 25 saat di media sosial pada Isnin.

Menurutnya, hasil semakan yang telah dijalankan sehingga kini mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kes tersebut.

"Pihak polis menggesa saksi dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini, diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Norazlan Noorudin di talian 03-61262222," katanya.

Pada Isnin, tular rakaman sebuah kereta Proton Wira berwarna kelabu dipandu secara melawan arus pada waktu malam.