2 murid cedera, 23 lagi selamat selepas jeti roboh

Guru terjun ke laut untuk menyelamatkan murid selepas jeti kampung roboh dalam kejadian di Kampung Pababag, Semporna.
Guru terjun ke laut untuk menyelamatkan murid selepas jeti kampung roboh dalam kejadian di Kampung Pababag, Semporna.
A
A
A
SEMPORNA - Dua murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, di sini, cedera manakala 23 yang lain selamat selepas terjatuh ke laut apabila jeti kampung berkenaan roboh dalam kejadian awal pagi Isnin.



Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, tiga guru terpaksa turut terjun ke laut demi menyelamatkan murid yang terjatuh ketika itu.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Sabah, Abidin Marjan mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian jeti roboh itu berlaku secara tiba-tiba.



"Jeti itu roboh ketika murid menaiki jeti berkenaan dan ia adalah jeti kampung yang menjadi jeti utama untuk sampai ke sekolah.



"Seramai 20 murid sekolah terlibat, lima lagi murid Tabika Kemas dan tiga guru turut terjun untuk menyelamatkan murid. Dua murid cedera ringan iaitu luka pada bibir dan tangan akibat terkena kayu dan terkena simen jeti yang roboh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, dua murid yang cedera bagaimanapun telah dihantar pulang selepas dinilai tahap kecederaan yang dialami.

"Setakat ini tiada kecederaan berat dan murid berkenaan telah dihantar pulang untuk ditenangkan oleh ibu bapa mereka," katanya.

Sementara itu, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulabayan Abdul Manan Danan berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan bagi membina jeti yang runtuh berkenaan.

"Perkara ini telah saya maklumkan kepada beliau supaya peruntukan segera (disalurkan) untuk melaksanakan jeti tersebut.

"Beliau telah bersetuju supaya jeti itu dilaksanakan secepat mungkin. Namun beliau tidak mengumumkan berapa peruntukan tetapi ia perlu disiapkan dengan segera," katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan guru menyelamatkan murid yang terjatuh ke dalam laut selepas jeti dikatakan roboh dan dipercayai ia berlaku di jeti SK Pababag.