Berang ditegur, lelaki Myanmar serang pemilik kedai runcit

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Tidak puas hati gara-gara ditegur kerana menendang kon, seorang lelaki warga Myanmar bertindak menyerang pemilik kedai runcit di Tasek Tambahan, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 5 petang, mangsa telah berjumpa dengan suspek di kedai runcit berkenaan.

"Suspek kemudian telah mengeluarkan satu senjata tajam seolah-olah seperti pisau dan melibas di muka pengadu sehingga terkena di bibirnya. Pengadu telah terima rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, sepasukan anggota polis berjaya memberkas suspek berusia 32 tahun di Taman Tasek Permai di sini pada jam 11.15 pagi, Isnin.

"Kita turut merampas sebilah besi yang telah diubah suai untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati kerana pengadu menegur tindakannya menendang kon di hadapan pintu pagar kedai tersebut.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang pada esok (Selasa) untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun keseksaan," katanya.