Agrico Qatar sedia melabur dalam sektor pertanian Malaysia

Mohamad berkata sesuatu kepada Ahmad Hussen semasa menerima kunjungan di pejabatnya di Putrajaya pada Isnin.
Mohamad berkata sesuatu kepada Ahmad Hussen semasa menerima kunjungan di pejabatnya di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Agrico for Agricultural Development Company (Agrico Qatar) melalui anak syarikatnya, Agrico Malaysia Sdn Bhd menyatakan kesediaan untuk melabur dan menjalinkan kerjasama dalam sektor pertanian di negara ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu bakal membabitkan jabatan dan agensi di bawah kementeriannya.

Kesediaan itu turut dinyatakan kedua-dua pihak selepas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Pengasas Agrico Qatar, Ahmad Hussen Al-Khalaf, di sini pada Isnin.

"Semasa lawatan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke Qatar pada 26 hingga 29 Mac 2022 yang lalu, Agrico Qatar telah menyatakan hasratnya untuk melabur dalam sektor pertanian bagi pembangunan buah-buahan berkualiti premium dan fasiliti pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia.

Ahmad Hussen dan delegasinya bergambar bersama wakil Malaysia yang diketuai Mohamad.
Ahmad Hussen dan delegasinya bergambar bersama wakil Malaysia yang diketuai Mohamad.

"Sehubungan itu, pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Pengerusi Agrico Qatar kali ini adalah merupakan susulan terhadap cadangan kerjasama antara Agrico Qatar dalam sektor pertanian di Malaysia.

"Agrico Qatar bersedia untuk melabur dan menjalinkan kerjasama melalui projek akuakultur, pertanian bersepadu, bekalan baja dan makanan ternakan," katanya pada Isnin.

Semasa pertemuan itu, MAFS turut bersedia untuk memudah cara kerjasama antara jabatan atau agensi di bawahnya dengan Agrico Qatar bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh wakil Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan wakil Kedutaan Qatar di Malaysia serta pegawai-pegawai kanan MAFS.

Kedua-dua belah pihak berbincang mengenai hala tuju kerjasama dalam sektor pertanian.
Kedua-dua belah pihak berbincang mengenai hala tuju kerjasama dalam sektor pertanian.

Agrico Qatar merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan organik serta akuakultur dan pengurusan sisa organik.