Lelaki maut dipukul, sempat solat sebelum mengamuk

Lelaki yang maut dipercayai dipukul di sebuah masjid di Pulau Melaka, Kota Bharu sempat menunaikan solat sebelum mengamuk.
Lelaki yang maut dipercayai dipukul di sebuah masjid di Pulau Melaka, Kota Bharu sempat menunaikan solat sebelum mengamuk.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang maut dipercayai dipukul di sebuah masjid di Pulau Melaka di sini, sempat menunaikan solat sebelum mengamuk.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada jam 6.30 petang lelaki berusia 28 tahun itu mengamuk dan berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan masjid yang bertugas.

"Kemudian lelaki terbabit berjaya ditahan dengan bantuan daripada pelajar-pelajar sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

"Siasatan polis mendapati, sehari sebelum kejadian (Sabtu) satu laporan polis telah dibuat oleh ibu lelaki itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, lelaki itu juga telah mengamuk di rumah dan mencederakan neneknya.

Ujarnya, dia kemudian keluar dari rumah dan tidak pulang.

Muhamad Zaki berkata, selepas kejadian, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

"Kita telah menahan 12 individu yang terdiri daripada pengawal keselamatan, warden dan pelajar bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun kesemua mereka telah dibebaskan kecuali pengawal keselamatan direman selama seminggu bermula Isnin hingga Ahad," katanya.

Ujar beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.