Mahkamah bertukar suram, prosiding 1MDB tangguh dua hari

Sri Ram
Sri Ram
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suasana Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bertukar hiba apabila pasukan pendakwaan memberitahu, bahawa Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia secara mengejut pada jam 12.15 tengah hari, Ahad.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib gagal menahan sebak, semasa prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Akram berkata, mendiang merupakan ketua pendakwaan dan dianggap seperti bapa sendiri.

“Beliau ibarat bapa dan ketua pasukan buat kami, oleh itu kami dengan rendah hati memohon kepada mahkamah, untuk membenarkan penangguhan prosiding hari ini dan esok.

“Ini kerana kami perlu berbincang untuk pengagihan semula tugas selain memberi penghormatan kepada mendiang buat kali terakhir dan kami berharap dapat berada di sana esok,” katanya.

Sementara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengucapkan takziah kepada pasukan pendakwaan.

Menurutnya, pasukan pembelaan tidak membantah penangguhan prosiding bagi memberi penghormatan kepada mendiang.

Mendengar perkara itu, Sequerah membenarkan perbicaraan 1MDB ini ditangguhkan selama dua hari dan disambung semula pada Khamis dan Jumaat dengan saksi ke-41 pendakwaan Joanna Yu Ging Ping disoal balas Muhammad Shafee.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes 1MDB membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu, meninggal dunia, pada jam 12.15 tengah hari.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang berusia 79 tahun sebelum ini dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta kerana menerima rawatan akibat penyakit jangkitan paru-paru.

Pada 23 November tahun lalu, semasa prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pemeriksaan utama membabitkan saksi utama kes akan dikendalikan oleh Sri Ram.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan Sri Ram sedang bercuti tiga hari kerana demam.

Sejurus itu, Sri Ram kembali bertugas seperti biasa dan hadir di mahkamah untuk prosiding-prosiding kes di mahkamah lain.

Selain kes 1MDB, Sri Ram turut mengendalikan kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor atas pertuduhan rasuah berhubung projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pada Ahad, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, pendakwaan dalam kes 1MDB akan diteruskan dengan pasukan sedia ada, iaitu timbalan pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).