Kedah berguru 10 hari di Turkiye

Pasukan Kedah FC akan berlepas pada 5 Februari ini ke Turkiye. - Foto KDA FC
Pasukan Kedah FC akan berlepas pada 5 Februari ini ke Turkiye. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) akan mengadakan siri jelajah pramusim di Antalya, Turkiye, selama 10 hari sebagai persiapan skuad Sang Kenari dalam menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata pasukan itu akan mengadakan empat perlawanan persahabatan dengan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari; FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari); FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan FC Matelist Kharkiv dari Ukraine pada 14 Februari.

Katanya, pasukan itu akan berlepas pada 5 Februari dan pulang pada 16 Februari ini.

“Semua perlawanan akan berlangsung pada jam 5 petang waktu Turkiye iaitu 10 malam waktu Malaysia. KDA FC merancang untuk menawarkan penstriman secara langsung (berbayar) setiap perlawanan kepada semua penyokong pasukan,” katanya selepas pengumuman jelajah pramusim pasukan KDA FC pada Ahad.

Beliau berkata, menerusi siri jelajah tersebut, skuad kendalian Nafuzi Zain diharap dapat membentuk keserasian pemain beraksi secara berpasukan selain mengenal pasti kesebelasan utama di samping membina semangat dan jati diri baharu.

Dalam pada itu, Mohd Daud berkata, KDA FC juga akan mengadakan majlis pelancaran jersi, memperkenalkan pemain dan pengumuman penaja musim 2023 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada 18 Februari depan. - Bernama