ASF bukan penyakit zoonotik, tidak jangkiti manusia

Kenyataan DVS pada Ahad.
Kenyataan DVS pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjelaskan bahawa penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang tular di media sosial baru-baru ini bukan penyakit zoonotik dan tidak menjangkiti manusia.

DVS dalam kenyataan berkata, sehingga kini, jangkitan penyakit ASF di Negeri Sembilan adalah terkawal dan tiada lagi laporan kematian pada babi hutan mahupun ternakan babi komersil berikutan kejadian kes ASF di Negeri Sembilan.

“Sehubungan itu, orang awam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Port Dickson,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada 3 Januari lalu, media melaporkan terdapat satu kes positif penyakit ASF dilaporkan daripada seekor babi hutan jantan dewasa yang mati dan ditemukan pekerja ladang sawit di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson.

Dalam pada itu, DVS mengesahkan kejadian tersebut menerusi ujian Real-Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ke atas sampel tulang yang diambil dari bangkai babi terbabit.

DVS turut memohon jasa baik semua pihak agar tidak menularkan berita yang tidak tepat dan segera merujuk kepada jabatan tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Orang awam boleh merujuk kepada poster atau video yang telah dihebahkan bagi meningkatkan lagi kesedaran berkaitan penyakit ini,” ujar kenyataan tersebut.