Penyakit ASF dikesan di ladang babi Port Dickson

Sebuah ladang babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A di Tanah Merah di sini dsita susulan kes positif ASF. (Gambar kecil: Bakri)
Sebuah ladang babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A di Tanah Merah di sini dsita susulan kes positif ASF. (Gambar kecil: Bakri)
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Veterinar Negeri Sembilan mengesan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di sebuah ladang babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A di Tanah Merah di sini.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata, kes positif itu dikesan selepas sampel dua ekor babi diambil daripada 275 ekor haiwan itu di ladang berkenaan Khamis lalu.

"Sampel itu telah diambil semalam (Jumaat) dan disahkan positif ASF pada petangnya.

"Tindakan segera telah pun diambil dengan menyita ladang berkenaan selain meminta bantuan polis memantau kawasan membabitkan radius lima kilometer supaya tiada pergerakan keluar masuk," katanya ketika ditemui di lokasi pada Sabtu.

Ujarnya, terdapat 20 ladang ternakan babi tidak berlesen di kawasan berkenaan dan kerajaan sebelum ini sudah mengeluarkan notis supaya menghentikan aktiviti itu.

"Penternak diminta menghentikan segera aktiviti penternakan tanpa lesen. Kita tidak mahu mengambil tindakan keras tetapi apabila berlaku kes begini kita perlu tegas.

"Penyakit daripada babi seperti virus nipah sudah pernah berlaku di Port Dickson pada tahun 1999 melibatkan lebih 100 kematian ternakan itu. Adakah kita mahu ia berulang," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada termasuk tindakan merobohkan kandang yang mempunyai kes positif ASF.

Artikel Berkaitan:

Bakri menambah, babi yang dikesan positif ASF itu dipercayai dibawa masuk dari Perak dan ASF tidak boleh menjangkiti manusia namun jika tidak dikawal ia boleh menjangkiti binatang lain.