Sungai Endau lepasi paras bahaya, tujuh lagi paras amaran

Anggota APM melakukan pemantauan keadaan banjir di Kampung Sejagong, Batu Pahat. -Foto: APM Batu Pahat
Anggota APM melakukan pemantauan keadaan banjir di Kampung Sejagong, Batu Pahat. -Foto: APM Batu Pahat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sungai Endau di Mersing kini sudah melepasi paras bahaya manakala tujuh sungai yang lain di negeri ini berada pada paras amaran.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Sungai Endau berada pada paras 2.75 meter (m) berbanding paras bahaya 2.20m.

"Tujuh sungai lain di daerah Segamat, Muar dan Batu Pahat berada pada paras amaran membabitkan Sungai Muar di Muara Sungai Gemas (18.39m); Kampung Awat, Batu Anam (19.43m); Buloh Kasap (8.97m) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah (5.61m) di Segamat.

"Sungai Muar di Bukit Kepong Muar (2.99m) di Muar manakala Sungai Bekok (18.51m) dan Sungai Sembrong (11.12m) di Batu Pahat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Berkenaan perkembangan banjir di negeri ini, beliau memberitahu, seramai 2,729 mangsa banjir daripada 765 keluarga masih ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS).

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah itu meningkat sedikit berbanding 2,660 daripada 743 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS pada jam 2 petang.

Menurutnya, Mersing masih menempatkan mangsa banjir paling ramai daripada enam daerah di negeri ini yang dilanda bah.

"Mangsa banjir di Mersing bertambah dan kini berjumlah 1,007 orang daripada 291 keluarga di tujuh PPS. Turut menunjukkan peningkatan ialah mangsa banjir di Batu Pahat dengan 771 orang daripada 221 keluarga," katanya.

Azmi berkata, jumlah mangsa banjir di Segamat pula menurun iaitu kini berjumlah 92 orang daripada 28 keluarga sementara di Kota Tinggi (422 orang daripada 105 keluarga), Kluang (422 orang daripada 117 keluarga) dan Tangkak (15 orang daripada satu keluarga).