Guna kuasa sebaiknya bantu rakyat - PM

Anwar berucap ketika menghadiri sambutan Hari Ponggal 2023 peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Klebang, Chemor pada Ahad.
Anwar berucap ketika menghadiri sambutan Hari Ponggal 2023 peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Klebang, Chemor pada Ahad.
A
A
A

TAMBUN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin agar tidak melupakan rakyat ketika berkuasa.

Menurutnya, beliau mengambil inspirasi daripada lagu kegemarannya, 'Naan Aanaiyittal' nyanyian artis Tamil popular, mendiang MG Ramachandran atau MGR yang mengajar pemimpin untuk bertanggungjawab dengan tidak membiarkan rakyat terus menderita.

"Saya selalu ingatkan kawan-kawan apabila ada kuasa, kita guna untuk rakyat. Negeri ini kaya, hasilnya banyak tetapi kenapa yang kaya makin kaya, yang miskin ramai.

"Sebab wang yang ada, kontrak lah, projek lah dicuri. Saya guna kuasa untuk selamatkan negara. Jangan ada yang mencuri sebaliknya beri bantuan balik kepada rakyat.

"Yang penting sekali negeri ini mesti diselamatkan, selamat daripada orang besar curi duit rakyat. Kalau ini boleh selamatkan, wang yang ada kita boleh pulangkan kepada rakyat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap serta menyanyikan lirik lagu itu di hadapan 1,000 orang yang hadir pada sambutan Hari Ponggal 2023 peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Klebang, Chemor di sini pada Ahad.

Anwar (tengah) melihat belanga tanah liat yang menyediakan nasi manis pada sambutan Hari Ponggal peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Klebang, Chemor pada Ahad.
Anwar (tengah) melihat belanga tanah liat yang menyediakan nasi manis pada sambutan Hari Ponggal peringkat Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Klebang, Chemor pada Ahad.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan bahawa pergaduhan antara kaum tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

"Saya tegaskan apabila kita gaduh di antara kaum, siapa yang untung, rakyat tidak untung. Yang gaduh orang bawah, yang suruh gaduh orang politik di atas.

"Sebab itu saya minta kawan-kawan Melayu datang meraikan bersama (Ponggal). Ini bukan upacara keagamaan sebaliknya pesta menuai yang diraikan sebagai tanda syukur kerana mendapat hasil yang baik," jelasnya.

Tambah beliau, Malaysia perlu berubah dari cara lama iaitu menganggap masuk politik untuk menjadi kaya.

"Semalam saya sebutkan orang politik jika mahu jadi kaya, berhentilah politik, berhenti niaga. Mahu politik, tidak boleh niaga kerana untung seorang," katanya.