MP Kepong tawar RM500, buru suspek khianat kereta

Kemas kini di Facebook Lip Eng pada Sabtu, yang menawarkan ganjaran RM500 kepada pemberi maklumat bagi membantu penangkapan suspek kes khianat kereta di Taman Pusat Kepong Jumaat lalu.
Kemas kini di Facebook Lip Eng pada Sabtu, yang menawarkan ganjaran RM500 kepada pemberi maklumat bagi membantu penangkapan suspek kes khianat kereta di Taman Pusat Kepong Jumaat lalu.
A
A
A

KEPONG - Perbuatan khianat dengan merosakkan kereta milik seorang juruacara di hadapan sebuah rumah kedai di Taman Pusat Kepong pada Jumaat lalu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Menerusi kemas kini di Facebooknya, Lip Eng menawarkan ganjaran RM500 kepada pemberi maklumat bagi membantu penangkapan suspek.

"Saya ingin menawarkan ganjaran sebanyak RM500 kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat yang boleh membawa kepada penahanan suspek dalam kejadian ini," katanya pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 29 tahun telah membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.16 petang, Sabtu.

Tayar kereta mangsa telah dipancitkan selain bahagian bumbung kereta diletakkan tong sampah, beberapa biji botol arak serta sampah sarap

Pengadu kerugian hampir RM500 apabila nombor pendaftaran kereta turut dicabut manakala cermin kanan bahagian penumpang telah diconteng cat hitam yang bertulis 'no park'.

Hasil siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat kelibat seorang lelaki yang berkeliaran di kawasan berhampiran disyaki melakukan perbuatan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan.